Friday, January 7, 2011

Cerpen : "Aku bukan tulang rusuk kirimu."

"Idz Qaala Yuusufu Li Abiihi Yaa Abati Inni Ra Aitu Ahada' Asyara Kaukabauw Wasy Syamsa Wai Qamara Ra aituhum Lii Sajidin..." Mukhtar dan Rohana berpandangan sesama sendiri. Suara seorang gadis yang mengalunkan bacaan al-Quran di ruang tamu Tok Limah benar-benar merdu pada pendengaran halwa telinga mereka mereka. Langsung tidak sumbang dan bagaikan sempurna bacaan mad dan waqafnya. Masing-masing diam berdiri di hujung anak tangga kayu rumah Tok Limah. Niat untuk memberikan salam mati begitu sahaja kerana risau jikalau kehadiran tanpa di undang itu mungkin mengganggu.

“Kamu cari siapa?” satu suara tua yang tiba-tiba kedengaran dari arah belakang Mukhtar dan Rohana membuatkan mereka sama-sama tersentak dan serentak mereka menoleh ke belakang. Sejurus melihat wajah tua yang menegur mereka, wajah Rohana berubah ceria. Anak matanya mula berkaca memandang wajah yang amat dirinduinya sejak kebelakangan ini.

“Tok Limah… “ perlahan Rohana memanggil nama Tok Limah, bekas guru mengajinya sewaktu zaman kanak-kanaknya dahulu. Laju Tok Limah menyambut huluran salam Rohana sambil lama memerhatikan wajah Rohana. Dia cuba mengecam wajah itu, namun gagal. Tak lama kemudian wajahnya dipalingkan ke arah Mukhtar yang menghulurkan salam. Fikirannya ligat memikirkan siapakah gerangan tetamunya itu, namun gagal.

“Tok ingat saya lagi tak tok?” Rohana memegang erat kedua belah tangan Tok Limah sambil tersenyum lebar. Lambat-lambat Tok Limah menggeleng-gelengkan kepalanya. Rohana kemudiannya memandang ke arah suaminya.

“Maaflah. Tok ni dah tua. Dah nyanyuk pun. Jemputlah naik ke atas dulu, mana tahu nanti-nanti Tok ingat siapa kamu berdua.” Tok Limah mengukir senyum. Kedutan di wajahnya jelas kelihatan namun manis wajahnya tetap ada.

“Tapi... Tak mengganggu ke kalau kami naik ni Tok? Nanti ganggu budak-budak tu mengaji pulak?” Mukhtar yang berasa gusar, takut-takut kehadiran mereka mengganggu bersuara.

“Tak apa. Tinggal lagi dua orang aje tu. Jemputlah naik dulu.” Rohana dan Mukhtar berasa serba salah namun kedua mereka menurut langkah Tok Limah. Ketika menjengah masuk ke dalam ruang tamu rumah Tok Limah, serentak Rohana terimbas gambaran dirinya 36 tahun lalu. Tanpa sedar, Rohana tersenyum sendiri.

“Jemputlah duduk. Tok buatkan air sekejap.”

“Eh, tak payahlah susah-susah Tok. Saya dah minum tadi.” Rohana cepat-cepat memegang tangan Tok Limah, cuba menghalang wanita tua itu ke dapur untuk menyediakan minuman kepada mereka. Niat di hatinya tidak mahu menyusahkan wanita tua berusia awal 80-an itu.

“Mana boleh tetamu datang tak hidangkan air. Duduklah dulu.” Tok Limah mengukir senyum sebelum berjalan menuju ke dapur.

“Sadaqallahul `Azim…”

“Bacaan Najwa makin bagus. Kalau nak cepat habis, datanglah hari-hari ye. Janganlah sekejap datang, sekejap tak datang. Tau?” lembut suara gadis yang duduk membelakangkan Mukhtar dah Rohana. Najwa sekadar menganggukkan kepalanya sambil tersenyum sebelum bersalaman dengan gadis yang mengajarnya mengaji sebentar tadi. Kemudiannya Najwa serta dua lagi rakannya yang lain mengajinya lain bangun dan berjalan keluar dari rumah Tok Limah.
Mukhtar dan Rohana sekadar memerhatikan tindak tanduk gadis yang dari tadi cuma didengari suaranya sahaja.

“Assalamu’alaikum.” ucapan salam terpacul keluar dari bibir mungil Batrisyia.

“Wa’alaikumussalam.” Mukhtar dan Rohana serentak menjawab. Rohana kemudiannya bingkas bangun apabila menyedari Batrisyia melangkah menuju ke arahnya sambil menghulurkan salam.

“Saya tolong nenek bancuhkan air sekejap ye.” Rohana mengangguk lembut sambil tersenyum manis. Hatinya berasa sangat senang melihat wajah Batrisyia.

“Mesti cucu Tok Limah kan?” suaminya Mukhtar, menganggukkan kepalanya sambil tersenyum.

“Senang hati saya tengok muka budak tu abang. Kan bagus kalau dia dapat jadi menantu kita.”

“Awak ni. Sempat lagi tu.”

“Betullah abang. Lagipun Haikal dengan Zainal tu, macam takde tanda-tanda nak berkahwin je.”

“Alah awak ni. Masing-masing kan muda lagi. Mungkin budak-budak tu dah ada pilihan sendiri tapi tak bersedia lagi ke. Sabar-sabarlah.”

“Muda apanya abang. Dah masuk lewat 20-an dah pun. Tambah-tambah si Zainal tu. Dah banyak cerita tentang dia bertukar girlfriend yang sampai ke telinga saya ni abang.”

“Budak muda...”

“Ish abang ni. Tak faham langsung.”

“Dah dah... nanti kita balik KL baru kita bincangkan hal ni.”

“Bo –“

“Maaflah ye lama menunggu.” suara Tok Limah yang tiba-tiba kedengaran mematikan perbualan kedua suami isteri tersebut.

“Jemputlah minum.” Batrisyia yang tidak lekang dengan senyuman dari bibirnya tertib menjamu teh kepada tetamunya.

“Terima kasih. Cucu Tok Limah ke ni?” soal Rohana ingin tahu.

“Iye. Satu-satunya cucu Tok. Batrisyia, tolong rebuskan ubi kayu dekat dapur tu ye?” Batrisyia yang sedang memegang dulang, mengangguk dan kemudiannya bingkas bangun melangkah ke dapur.

“Kamu makan kan ubi kayu?” soal Tok Limah kepada kedua suami isteri tersebut.

“Makan Tok, kami ni pun berasal dari kampung juga. Dari kampung ni juga. Tok pernah ajar kami berdua mengaji.” Mukhtar yang dari tadi yang lebih gemar mendiamkan diri bersuara.

‘Batrisyia’ detik hati Rohana.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


“Mama ni. Tak ada pilihan lain ke? Ada ke gadis kampung yang mama nak kenalkan pada Zain.”

“Zain. Apa yang kurangnya pada gadis kampung? Manusia juga. Wanita juga.”

“Malulah kalau gadis kampung yang jadi isteri Zain nanti.”

“Zain... Mama dengan papa pun dari kampung juga tau. Apa kurangnya pada gadis kampung? Cuba cakap pada mama.” Rohana cuba bertoleransi dengan anak sulungnya, Zainal.

“Susahlah mama. Zain memang tak sukalah gadis kampung ni. Tak pandai bergaya, pemikiran pun mesti tak sama macam kita orang bandar ni.”

“Tapi budak ni lain Zain. Cantik je orangnya mama tengok. Lemah lembut, manis... pandai mengaji..” Rohana masih cuba memujuk Zainal.

“Mama, kawan-kawan Zain ramai yang macam tu mama, malahan bergaya lagi. Mengaji tu boleh belajar lah Ma. Upah je mana-mana ustaz ajar mengaji Ma.”

“Apa yang kau bebelkan dari tadi ni Zain?” Haikal yang sedang menuruni tangga rumahnya menuju ke ruang tamu menyampuk perbualan mamanya serta abang sulungnya.

“Mama ni, suruh aku kahwin dengan gadis kampung mane ntah.” serentak Haikal tertawa besar.

“Haiii... mamaaa... mamaa... takkanlah Zain nakkan gadis kampung. Taste die kan tinggi mama. Nak yang cantik, kurus, tinggi, bergaya, berpelajaran...”

“Haaa... kau je yang memahami aku Haikal.” serentak tangan kanan Zainal menepuk paha kanannya manakala jari telunjuk kirinya ditundingkan ke arah adik lelakinya yang berusia muda 2 tahun darinya, Haikal. Rohana yang mula geram menggeleng-gelengkan kepalanya sambil mencapai minumannya di atas meja.

“Mama... Mama kasi... apa namanya budak tu, Batrisyia pada Haikal ajelah mama.” ternyata cadangan dari Zainal tersebut membuatkan Rohana terkejut besar. Hampir tersembur air yang sedang diminumnya. Mata Haikal membulat manakala Zainal hampir tergelak besar namun ditahannya.

“Kamu ingat Batrisyia tu barang ke nak kasi kasi pada orang tu orang ni?” Rohana seolah-olah menyinga. Haikal yang tadinya terkejut kini tersenyum.

“Takdelah, itu cuma cadangan Zain aje. Jangan marah, nanti kena jual” Zainal tersengih. Sengaja mengujuk salah satu dialog filem P Ramlee.

“Kamu ni.” Rohana meletakkan cawan minumannya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Sorry mama. Mama, Zain nak keluar dulu. Mama lupakan lah niat mama tu, Zain tak berminatlah mama.” Zainal cepat-cepat bingkas bangun dan keluar dari rumah. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu membincangkan lagi hal tersebut.

“Zain!" Zain mengeluh kecil. Nyata kali ini mamanya sangat serius ingin cuba mengenalkan gadis kampung tersebut kepadanya.

“Ye mama....” suaranya kedengaran mendatar.

“Sabtu ni, ikut mama ke rumah Batrisyia. Mama nak kamu jumpa budak tu.” serentak Zainal menoleh ke arah Rohana.

“Muktamad!”

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Awak tak rasa ke yang awak ni macam terlalu memaksa Zainal?” soal Mukhtar kepada isterinya ketika kedua-dua mereka berbaring di atas katil. Mukhtar yang pada awalnya kusyuk membaca buku, tiba-tiba menyoal isterinya sebaik sahaja terfikirkan soal Batrisyia dan Zainal.

“Abang... itu untuk kebaikan Zainal jugak...”

“Tapi, kalau budak tu tak suka, tak guna dipaksa.”

“Abang, saya tak ada niat nak paksa dia abang. Abang sendiri tahu Zainal tu mazam mana. Kehidupan sosialnya. Bukannya tak pernah ada perempuan yang datang cari saya, bercerita tentang Zainal tu. Dua tiga orang dah abang. Kalau ikutkan hati, mau je saya suruh Zainal memperisterikan perempuan-perempuan tu. Tapi saya yakin, abang sendiri pun takkan berkenan nak jadikan perempuan macam tu jadi menantu kita.” serentak fikiran Mukhtar melayang terfikirkan gadis-gadis yang pernah datang menemui isterinya sebelum ini. Kesemua mereka memang gadis moden yang berpakaian terlalu seksi. Dari gaya mereka juga, Mukhtar dapat membayangkan kehidupan sosial mereka.

“Saya takde niat nak paksa Zain abang, tapi sampai bila kita nak biarkan dia bergelumang dengan dosa, dengan maksiat. Sampai bila kita nak menanggung dosa die abang? Kalau ikutkan hati, memang saya nak jodohkan Batrisyia tu dengan Haikal tapi saya rasa Batrisyia tu mungkin boleh bimbing si Zain tu nanti.”

“Entahlah kenapa saya terlalu risaukan Zainal tu abang. Haikal tu tak banyak songeh sangat. Nampak macam bertanggungjawablah jugak. Sembahyang pun jarang ditinggalkan. Zainal tu aje. Sebab tu lah saya suka sangat kalau Batrisyia dijodohkan dengan dia. Manalah tahu, kalau-kalau dia dapat ubah sikit sikap si Zainal tu. Saya harap esok, lepas berjumpa Batrisyia, hati dia terbuka untuk memperisterikan Batrisyia” Rohana mengeluh kecil.

Mukhtar seolah-olah tidak mendengar keluhan isterinya, namun hatinya mengiyakan kata-kata isterinya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Ya Allah Ya Tuhanku, kepada-Mu aku bersujud memohon agar Engkau dapat mengampuni segala dosa-dosa lampauku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Terlalu banyak dosa yang telah aku lakukan kepada-Mu Ya Allah. Aku lalai dan lupa kepada ajaranmu Ya Allah.
Ya Allah Ya Tuhanku, jauhilah aku dari anasir-anasir jahat. Jauhilah aku dari segala hasad dengki dan sifat-sifat munafik. Dekatkanlah aku kepada diri-Mu Ya Allah. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui dan Menentukan.
Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah jodoh yang baik kepadaku Ya Allah. Temukanlah aku dengan seorang lelaki yang dapat membimbingku dan memberikan zuriat yang baik kepadaku Ya-Allah. Aku memohon kepada-Mu Ya Allah, berikanlah kepadaku suami yang terbaik dari sisi-Mu, suami yang juga menjadi sahabatku dalam urusan agama, urusan dunia & akhirat Robbi hablii milladunka zaujan thoyyiban wayakuuna shoohiban lii fiddiini waddunyaa wal aakhiroh. Amin Ya Rabbal ‘Alamin…”

Batrisyia meraup wajahnya dengan kedua belah tangannya yang berlapik dengan telekung. Kain telekungnya kemudian diselak sehingga menampakkan kedua belah tapak tangannya. Air matanya yang berjurai turun sejak dari awal Batrisyia berdoa memohon keampunan dari Allah disapu dengan kedua-dua belah tangannya. Lama dia duduk di atas sejadah sebelum bangun dan membuka telekungnya.
Sambil-sambil melipat dan menggantung telekung serta sejadahnya, fikiran Batrisyia jauh melayang memikirkan tentang Zainal. Terngiang-ngiang suara Zainal di kotak fikirannya. Seolah-olah Zainal masih lagi berada di hadapannya seperti siang tadi.

“Cantik… betul apa yang mama aku cakap. Kau memang cantik. Lemah lembut… mungkin betul kalau kau bukan plastik. Manis… iyelah kot… bab pandai mengaji tu yang aku rasa nak tergelak sangat-sangat tu.”

“Awak… saya….”

“Tak apelah cik Batrisyia. Mungkin depan mama dan papa aku, kau boleh berlagak baik, berlagak innocent tapi bukan dengan aku okay?” mata Batrisyia mula berkaca.

“Menangis pulak… kau ni memang pandai berlakon lah Batrisyia… Batrisyia? No no no… aku rasa nama tu macam terlalu baik untuk perempuan macam kau. Apa pelanggan-pelanggan kau dekat club tu selalu panggil kau? Sya kan? Haaa… Sya... Kau ni memang pandai berlakonlah Sya.”

“Awak… sekalipun saya pernah hidup bergelumang dengan dosa, tapi saya tetap ada hak untuk kembali ke pangkal jalan bukan?"

"Boleh percaya ke kau dah betul-betul kembali ke pangkal jalan? Entah-entah engkau saje je berlagak baik macam ni depan mama dengan papa aku sebab nak jadi menantu dorang, lepas tu boleh kikis duit mak bapak aku kan? Dasar gadis kampung murahan!" serentak Batrisya terasa seperti jantungnya dipanah petir. Lidahnya terkedu. Airmata yang tadinya kering, kembali bergenang di mata.

"Menangis lagi. Baik kau pergi casting, jadi pelakonlah perempuan. Untung-untung kau dapat gelaran ratu air mata. Confirm glamour nanti. Dah glamour, sah-sahlah duit kau berkepuk-kepuk nanti. Tak payah dah kau nak kerja jual badan dekat club tu lagi tiap-tiap malam." Batrisya menekup wajahnya. Zainal senyum sinis.

"Satu je yang aku nak minta, kau jangan nak pujuk mama aku bermenantukan kau - "

"Tak perlu minta!" laju Batrisya memotong percakapan Zainal. Zainal mengecilkan matanya merenung Batrisya. Batrisya mengesat-ngesat air matanya sambil tersenyum.

"Tak perlu minta." tutur Batrisya lagi.

"Saya tak pernah meminta atau memujuk mama awak bermenantukan saya. Sebab saya sedar saya ni gadis kampung murahan."

"Baguslah kalau kau sedar diri kau tu siapa." Zainal senyum sinis. Batrisya turut senyum sinis.

"Tapi walaupun diri saya macam ni, Allah lebih sayangkan saya. Dia tak biarkan saya hanyut terlalu lama. Dan awak, sebenarnya tak tahu pucuk pangkal kisah hidup saya. Masakan saya ingin hidup bersama dengan lelaki yang sering bertukar pasangan tidur boleh dikatakan hampir setiap minggu dan memanggil wanita yang tersilap langkah di dalam hidupnya tanpa kehendaknya sendiri dengan panggilan gadis kampung murahan?" Zainal diam terkedu.

"Awak balik dan tidurlah dengan nyenyak malam ni sebab saya memang takkan dan tak mungkin jadi isteri awak. Saya bukan tulang rusuk kiri awak." Batrisya senyum lembut sebelum memalingkan badannya dan berlalu pergi.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Haikal memandang ke arah luar restoran melayu yang tampak eksklusif dengan rekaan dalaman ala-ala rumah tradisional melayu. Dengan susunan meja yang tersusun, sentiasa bersih serta dilengkapi penghawa dingin, itulah faktor yang membuatkan Haikal sering berkunjung ke restoran tersebut.

"Awak bawa saya keluar ni sebab nak biar saya minum sorang-sorang ye? Ke awak nak biar saya berbual kosong dengan tisu depan saya ni?" Batrisyia cuba bergurau. Haikal tersentak. Kemudiannya dia tersenyum. Batrisyia turut sama senyum.

"Berbeza ye sikap awak dengan adik awak?" Haikal mengerutkan dahinya.

"Awak tak tahu yang saya dengan Zain memang dah kenal antara satu sama lain sebelum ni?" Haikal menggelengkan kepalanya. Batrisyia senyum.

"Saya dengan dia pernah berjumpa 3 kali sebelum ni." lagi sekali Haikal mengerutkan dahinya.

"Dekat club yang adik awak selalu pergi setiap minggu." Batrisyia senyum, namun Haikal sebaliknya. Hatinya yang tadi berdebar-debar tiba-tiba terasa bagaikan remuk sekelip mata.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Haikal merenung luar balkoni biliknya. Hujan yang turun renyai-renyai terasa mengasikkan. Wajah ayu Batrisyia bermain-main di fikirannya. Teringat perbualan antara mamanya dan Batrisyia 2 hari lepas sewaktu dia menemani mamanya melawat Tok Limah di Kampung Senai.

"Auntie nak tanya kamu satu perkara ni Batrisyia. Boleh tak?" soal Rohana lembut. Batrisyia senyum. Sudah dapat mengagak apa persoalan yang bakal ditanya nanti.

"Boleh."

"Betul ke kamu dengan Zain pernah berjumpa sebelum ni? Maksud auntie, sebelum auntie lawat nenek kamu 2 minggu lepas?" Batrisyia mengangguk sambil senyum tenang.

"Macam mana kamu berkenalan dengan Zain?" soal Rohana. Hatinya terasa berdegup laju. Batrisyia yang tadinya senyum, tiba-tiba berubah riak wajahnya. Tangannya menggenggam lembut tangan Rohana.

"Auntie... Sya terus-terang dengan auntie ye?"tutur Batrisyia lembut. Rohana mengangguk lembut.

"Sya sebelum ni, bukanlah sebaik yang auntie tengok sekarang. Sya macam manusia lain juga. Pernah melakukan kesilapan. Sya yakin, Zain mesti dah ceritakan tentang Sya pada auntie kan?" Sya merenung tepat ke anak mata Rohana. Rohana yang bagaikan dipukau, mengangguk lembut.

"Apa yang Zain ceritakan tu, betul. Sya mengenali Zain di sebuah club. Waktu tu Sya bekerja sebagai GRO dekat club tu." hati Rohana tiba-tiba terasa sayu. Batrisyia memegang tangan Rohana dengan lebih erat.

"Auntie mesti kecewa kan? Sebab mesti auntie tak pernah sangka Sya macam ni." Rohana diam.

"Sya pun taknak semua tu jadi auntie. Tapi benda dah jadi, apa yang Sya boleh buat sekarang, cuma betulkan diri Sya, memohon keampunan dari Alllah dan hidup dengan lebih baik." Batrisyia senyum, namun matanya mula berkaca.

"Kalau Sya tak kisah, boleh tak Sya berterus-terang pada auntie, kenapa Sya boleh bekerja dekat sana dulu?" soal Rohana lembut. Batrisyia merenung anak mata Rohana. Jelas dari anak mata Rohana seperti memohon agar Batrisyia jujur padanya.

"Betul auntie nak tahu ni?" Rohana mengangguk lembut sambil tersenyum. Batrisyia melepaskan satu dengusan halus sebelum bersuara.

"Sebenarnya Sya pun tak sangka yang Sya - "

"Aduh! Aduh!" serentak Rohana dan Batrisyia berpaling ke arah Haikal yang sedang tergopoh-gapah melibas-libas kakinya yang digigit kerengga dengan tuala yang kebetulan sedang disangkut di bahunya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

"Mama buat sup apa mama?" soal Haikal.

"Sup kerengga." selamba Rohana menjawab sambil menjeling ke arah Batrisyia. Serentak Batrisyia tertawa kecil manakala Haikal mengecilkan matanya memandang Rohana.

"Mama ni saje je kan? Tak habis-habis nak usik Haikal."

"Eh eh, mane ada mama usik Haikal. Mama buat sayur taruk halia. Sup untuk orang diet. Kalau makan confirm pinggang jadi macam pinggang kerengga. Sebab tu mama cakap sup kerengga." Mukhtar yang sedang duduk menonton televisyen senyum sambil menggelengkan kepalanya. Haikal mencebik.

"Dah kalau macam tu macam mana Haikal nak makan? Nanti kalau Haikal makan pinggang Haikal macam kerengga, habislah nyah-nyah dekat luar sana tak boleh cari makan dah. Kesian diorang nanti mama." Haikal cuba berseloroh. Batrisyia yang dari tadi mendengar dua beranak itu bergurau senda makin rancak tertawa. Haikal yang terasa geram bangun duduk bersebelahan isteri kesayangannya itu.

"Suka ye die. Nak rasa tak macam mana kerengga tu gigit abang? Nak rasa? Nak rasa? Meh nak cubit pinggang kerengga ni!" usik Haikal sambil mengacuh-acuh ingin mencubit pinggang Batrisyia. Batrisyia yang tadinya tertawa, panik apabila Haikal tiba-tiba ingin mencubit pinggangnya.

Rohana dan Mukhtar tertawa melihat-lihat wajah Batrisyia yang sudah 2 minggu berpindah ke rumah mereka semenjak diijabkabulkan dengan Haikal. Tok Limah yang turut sama berpindah ke situ senyum senang melihat kemesraan pengantin baru tersebut. Rasa rindu kepada arwah suaminya mula terbit namun sekejap sahaja perasaan itu berlalu pergi.

Zainal yang sedang duduk merokok di luar rumah membaling puntung rokok yang cuma baru separuh dihisapnya. Perasaan cemburu menyelinap ke seluruh hati dan fikirannya walaupun sedaya upaya dia cuba menahannya. Kunci kereta di atas meja kecil disebelahnya dicapai dengan kuat. Cuba melepaskan rasa geram di hatinya.

Tak sampai 10 minit kemudian, Honda City hitamnya berderum kuat memecah kesunyian malam di kawasan perumahan yang didudukinya bersama kedua orang tuanya.

Sambil memandu, fikirannya jauh melayang terbayangkan wajah Batrisyia. Kata-kata dari Zafar yang bermain-main di gegendang telinganya bagaikan rakaman suara.

"Batrisyia tu bukan perempuan kampung murahan yang kau sangkakan Zain. Kau silap."

"Eh, yang kau nak back-up die apahal pulak ni? Kau syok dekat perempuan kampung murahan tu pulak ke?" sinis Zainal berkata.

"Aku tak syok dekat die tapi, kalau aku berada dekat tempat kau, aku takkan tolak untuk memperisterikan si Sya tu. Kau tak tahu cerita sebenarlah Zain. Lepas tu kau sesuka hati cakap bukan-bukan. Kau silaplah Zain." Zainal mengerutkan dahinya. Jelas dia mula berasa hairan.

"Sya tu memanglah gadis kampung. Nenek dia yang besarkan dia sebab mak ayah dia meninggal dunia waktu dia berumur 10 tahun. Setahu aku, sejak dia berumur 6 tahun dia dah mula mengaji. Jarang sekali dia keluar rumah dengan kawan-kawan. Sebab die lebih suka duduk dekat rumah dengan nenek dan atuk die." panjang lebar Zafar bercerita. Zainal memandang ke arah orang yang sedang sibuk lalu lalang seberang jalan kedai yang sedang dia duduk melepak dengan Zafar.

"Satu masa, lepas SPM, kawan sekampung dia ajak die datang KL. Konon-kononnya saja-saja nak ajak Sya cuba bekerja dekat KL sebelum dapat result SPM. Si Sya ni taknak tapi kawan dia beriya-riya ajak die ke KL sampai siap pujuk nenek dengan atuk Sya. Bila nenek die suruh die pergi ke KL dan belajar hidup berdikari, barulah Sya ni ikut kawan die ke KL. Kesian aku dengar kisah si Sya sebenarnya kau tau tak." Zafar mendengus kasar. Zainal memalingkan wajahnya ke arah Zafar. Keningnya berkerut.

"Kau dok panggil Sya ni perempuan kampung murahan, tapi aku rasa kawan die yang bawa die ke KL tulah baru perempuan kampung murahan sebenarnya."

"Maksud kau?"

"Minah tu beriya-riya ajak Sya yang lurus bendul, naif dan tak biasa dengan dunia dekat bandar ni sebab boyfriend die berhutang duit dengan kawan-kawan die. Reti pinjam duit tapi tak reti nak bayar. Banyak pulak tu. Bila satu geng kawan-kawan mamat tu ugut nak patahkan tulang riuk die, nak rosakkan hidup girlfriend die, kelam-kabut diorang. Sebab tu girlfriend die yang tak guna tu kenakan Sya yang naif tu. Boleh dibawanya Sya datang ke KL, lepaskan Sha ke tangan geng kawan bf die untuk tukar ganti dengan duit yang dorang hutang." hati Zain tersentap. Rasa simpati dan bersalah mula menular di dalam hatinya.

"Tapi mungkin Tuhan sayangkan gadis sebaik dan sesuci macam Sya tu. Dengan kuasa Tuhan, aku pun tak tau kenapa dorang boleh tak buat apa-apa dekat Sya, dorang bawa Sya ke club yang kau pernah terserempak dengan Sya sebelum ni. Kalau dapat dekat orang lain, mau rosak dah Sya tu." Zafar diam seketika. Tekaknya terasa kering. Dia mengangkat gelas yang berisi limau ais yang meneguk 2 teguk sebelum menyambung ceritanya.

"2 hari lepas Sya kerja dekat situ, dia berkenalan dengan Dato' Mazwan. Kau kenal kan Dato' Mazwan?" soal Zafar. Lambat-lambat Zainal mengangguk.

"Dato' Mazwan yang dah setahun membujang sebab isteri die meninggal tu?" laju Zafar menganggukkan kepalanya.

"Dato' Mazwan pergi club tu sebab nak jumpa kawan die. Kebetulan Sya yang waktu tu nasih terlalu naif terpaksa temankan kawan Dato'. Kawan Dato' yang perasan Dato' macam berkenan dekat Sya suruh Sya temankan Dato'. Esoknya, Dato' datang lagi ke club tu semata-mata nak jumpa Sya. Sebab Dato' perasan, ada sesuatu yang tak kena dengan Sya. Waktu tu lah Sya ceritakan semuanya pada Dato'. Dato' yang simpati dengan nasib Sya, deal dengan mak hayam club tu akan bayar sejumlah wang setiap hari untuk melanggan Sya. Hampir sebulan jugaklah dia bayar untuk Sya. Sepanjang sebulan tu, memang Sya takde langgan mane-mane lelaki lain selain daripada Dato'." Zainal berasa hairan. Zafar tergelak kecil.

"Apasal? Kau pelik?" soal Zafar yang tergelak kecil melihat riak wajah Zainal.

"Agaklah, aku hairan apasal Dato' tak settlekan aje hutang mamat tak guna tu dekat kawan-kawan die. Kan habis cerita?"

"Sebab Sya tolak lamaran Dato'."

"Aku tak faham."

"Sebab Dato' propose Sya. Dia cakap dia boleh tolong Sya dengan mengahwini Sya. Tapi Sya tolak dengan baik. Dia taknak terhutang budi dengan Dato'. So Dato' bayar sejumlah wang dekat mak hayam tu dan kenakan syarat takde sesiapa boleh langgan Sya. Aku rasa sampai sekarang pun Sya tak tahu apa yang Dato' dah buat sebenarnya."

"Okay, yang tu aku faham. Tapi yang aku tak fahamnya, apasal Dato' taknak bayar lump sum hutang dekat geng tu? Dan macam mana kau boleh tau semua ni?" soal Zainal lagi.

"Aku kan kadang-kadang lepak minum dengan Dato'. Kau lupa ke? Baru-baru ni aku tanya Dato' pasal Sya lepas kau cerita dekat aku pasal Sya. Sebelum ni Dato' memang tak pernah cerita langsung pasal Sya. Tapi aku tahulah yang Dato' selalu ke sana jumpa Sya. Aku pun tak pernah tanya. Terdetik nak tanya pun sebab kau cerita pasal mama kau nak jodohkan kau dengan Sya. Pasal Dato' taknak bayar lump sum tu, sebab Dato' nak berterusan jumpa Sya. Selagi Sya dekat club tu, selagi tulah die dapat jumpa Sya. Kalau die bayar lump sum hutang tu, Sya dah cakap dekat die yang die akan balik ke kampung dan takkan datang ke KL lagi." Zainal mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham.

Zainal terasa mahu menghantukkan kepalanya sekuat hati. Dia akui kali pertama dia terpandangkan Batrisyia di kelab malam tersebut, hatinya sudah terpaut dengan wajah manis dan kelembutan yang dimiliki Batrisyia. Namun apabila Batrisyia menolak ajakannya untuk minum bersama dengannya pada kali kedua dia menegur Batrisyia di kelab malam tersebut, Zainal terasa egonya tercabar.

Suatu hari, mamanya menyuarakan hasrat ingin menjodohkannya dengan seorang gadis kampung. Dia bermati-matian membantah hasrat mamanya walaupun pada akhirnya dia terpaksa akur dengan permintaan mamanya untuk mengikutnya ke Kampung Senai untuk menemui gadis yang bernama 'Batrisyia'.

Saat dia terpandangkan wajah Batrisyia yang manis dan ayu berbaju kurung pahang putih, hatinya terasa terpukul. Hatinya geram kerana berasakan Batrisyia seorang gadis kampung yang hipokrit dan laju bibirnya mengeluarkan kata-kata kasar yang mengguris perasaan gadis ayu itu ketika mereka sengaja ditinggalkan di ruang tamu berduaan.

Sesungguhnya dia berasa sangat kesal. Setelah medengar keseluruhan cerita, Zainal sedar yang perasaannya terhadap Batrisyia mulai berubah. Rasa cinta menular dalam hatinya tanpa dipinta. Bersilih ganti wajah Batrisyia bermain di fikirannya.

Masih terbayang wajah manis Batrisyia yang menolak lembut ajakannya untuk minum bersama. Wajah ayu Batrisyia ketika menghidangkan air ketika dia ke rumah Batrisyia di Kampung Senai bersama mama dan papanya. Wajah sedih Batrisyia pada waktu dia mencaci Batrisyia. Sesungguhnya dia berasa sangat kesal. Namun dia sedar, yang dia takkan mampu memutar kembali masa.

Batrisyia kini sah bergelar isteri kepada adik kandungnya sendiri, sekaligus bergelar adik iparnya. Haikal memiliki peribadi yang jauh berbeza dengan dirinya. Haikal seorang yang sangat rendah diri, berbudi bahasa, banyak menghabiskan masanya di rumah selain sibuk bekerja. Namun persamaan yang dimiliki mereka, wajah yang agak tampan, bertubuh tinggi tegap dan gemar bergurau senda.

Betapa pahit kebenaran yang harus ditelan Zainal kini.

"Perempuan-perempuan jahat untuk laki-laki jahat,laki-laki Jahat untuk perempuan-perempuan jahat pula,perempuan-perempuan baik untuk laki-laki baik,laki-laki baik untuk perempuan-perempuan baik pula. Mereka itu (orang-orang baik) terlepas dan tuduhan yang mereka katakan,untuk mereka ampunan dan rezeki yang mulia."


~> Aku bukan tulang rusuk kirimu - Part 2
~> Aku bukan tulang rusuk kirimu - Part 3

With Love,

16 comments:

Anonymous said...

walaupun merapu boleh tahan jugak cerpen ni ;) hee hee

Asrul "iLham" Sany said...

rajin tol u tulis cerpen...

keep it up, babe ;)p

♥ Juliana Violet ♥ said...

Anony,
♥ Hee hee... macam tau je siapa nie... =p'

Asrul "iLham" Sany,
♥ Takdelah rajin sangat. Rasanya jarang sgt I tulis cerpen. :)
Kalau ada idea baru i menulis cerpen. :)

said...

ada kebolehan menulis

tahniah V...

(^^,)

-MsGoodNite- said...

Haa.. kan dah cakap!
tulisan cik Vee mmg best :)

Anonymous said...

tau ke sape ;)

Dearie Pearls said...

i likee..

teruskan usaha..

memang berkebolehan menulis.

Dearie Pearls said...

i likeee..
memang berkebolehan menulis..

speckurosaklagi said...

wahh vee type aee.....

congerate.....

♥ Juliana Violet ♥ said...

Yanie,
♥ Thank you so much sweetie
:)

-MsGoodNite-
♥ Biasa2 aje dear. Awak pun boleh tahan juga bila menulis ye? Ahem ahem... hihihi

Anony,
♥ Saya rasa macam saya tahu siapa anda. :)

Pearls,
♥ Pearls banyak support Vee. Thank you so much! :)

Spec,
♥ Ye, Vee type.
Thanks Spec. :)

besi said...

vee...mmg cekap wat cerpen.
begitu senang lontaran ideanya
bagus la vee ni

♥ Juliana Violet ♥ said...

besi,
♥ Thank you so much besi.
Banyak lagi yang Vee kena belajar tau besi. :)

susu said...

best r cite nih..nice writing

♥ Juliana Violet ♥ said...

susu,
♥ Thank you so much for reading. :)

ShamSki said...

"Perempuan-perempuan jahat untuk laki-laki jahat,laki-laki Jahat untuk perempuan-perempuan jahat pula,perempuan-perempuan baik untuk laki-laki baik,laki-laki baik untuk perempuan-perempuan baik pula. Mereka itu (orang-orang baik) terlepas dan tuduhan yang mereka katakan,untuk mereka ampunan dan rezeki yang mulia."...wuuuuuuu...ooooo...

♥ Juliana Violet ♥ said...

Hell Torres,
♥ It's true indeed kan? :)