Saturday, August 4, 2012
Rainy day & Honey Lemon Tea
Dua gelas lemon tea dan honey lemon panas ditatap Sofea. Memerhati asap yang sedang berlawan bersebaran di ruang udara tak jauh dari bibir cawan. Qhabeer yang turut sama diam dari tadi akhirnya bersuara mengelak dari suasana menjadi kekok.
“Air Qhabeer honey lemon. Air Sofea lemon tea. Sekarang Qhabeer ambil sudu dalam honey lemon ni, masukkan dalam lemon tea Sofea, cuba teka jadi apa?” soal Qhabeer sambil senyum. Senyuman yang bias membuatkan hati si gadis tak tidur malam. Senyuman nakal semanis madu. Dan senyuman yang seiring dengan mata yang hampir sempurna. Mata yang bersinar itu bagaikan turut tersenyum tatkala bibir menguntum senyum.
“Entah? Jadi apa?” Sofea menyoal kembali.
“Jadilah honey lemon tea!” Qhabeer sengih. Matanya kelihatan makin bersinar. Sofea tergelak kecil.
“Gurau aje.”
“Tau. Dari dulu sama aje. Tak pernah berubah.”
“Tapi Sofea dah banyak berubah. Pipi tu, dah macam teddy bear dah!” serentak Qhabeer mencubit geram pipi Sofea. Sofea yang tersentak dengan tindakan tiba-tiba Qhabeer membulatkan matanya. Beberapa saat kemudian pipinya terasa kebas. Kuat benar cubitan Qhabeer.
Lebih 2 tahun mereka tidak berjumpa dan banyak perkara tentang diri masing-masing antara mereka yang tak pernah berubah. Cuma satu perkara yang tak pernah berubah. Satu perasaan ikhlas dan suci dalam ruang yang sangat istimewa dalam hati Sofea.
“Tapi takpe, comel je.” Sambung Qhabeer. Pipi Sofea yang tadinya kebas mula terasa panas. Sungguh dia merasa gemuruh jika Qhabeer yang memujinya. Jika lelaki lain yang memujinya, dia sekadar tergelak kecil dan menganggapnya sebagai gurauan.
“Eh! Hujan! Jom! Duduk sini dari tadi pun, Sofea bukan cakap banyak sangat. Senyum je dari tadi tengok Qhabeer.” Sofea tersentak. Dan termalu sendiri kerana Qhabeer rupa-rupanya perasan dia asyik leka menatap wajahnya.
“Jom!” Qhabeer yang sudah berdiri tadinya menarik tangan Sofea masuk ke dalam kaunter café untuk membayar minuman yang tak habis diminum mereka.
Habis membayarnya, mereka berjalan seiringan menuju ke kereta merah kesayangan Qhabeer. Namun setengah perjalanan, kedua mereka terhenti. Hujan semakin rancak memuntahkan air ke bumi.
Sofea bagaikan tidak puas memerhati Qhabeer, berterusan memerhati Qhabeer. Kali terakhir mereka bertemu, kedua mereka sama-sama kurus. Dan kini, Qhabeer yang punya badan tinggi lampai, punya susuk badan yang menarik dan sasa. Manakala Sofea yang dulunya agak kurus, berat badannya turut bertambah.
Sofea berkira-kira mahu memulakan perbualan dengan Qhabeer yang sedang mengelamun jauh memerhati hujan yang turun.
“Qhabeer…” perlahan Sofea menyebut nama jejaka yang sedang berbaju putih tika itu.
“Ye?” serentak Qhabeer menoleh ke arahnya. Sambil tersenyum. Senyuman yang sering membuatkan Sofea rindu padanya.
“Qhabeer percaya tak kalau Sofea cakap yang sebelum ni, Sofea sukakan Qhabeer?” tergagap-gagap Sofea memberanikan diri menyatakan sesuatu yang sudah lama dipendamnya selama ini. Qhabeer senyum.
“Suka? Mungkin percaya. Tapi perasaan suka tu, perasaan sementara aje. Takkan kekal.” Qhabeer bertutur lembut sambil meletakkan kedua tangannya di sisi kepala Sofea dan melurutkannya ke pipi Sofea sebelum lama memegang kedua pipi Sofea. Lama dia menatap anak mata Sofea sebelum mencubit laju dagu Sofea. “Redah hujan jom! Kita sambung minum lemon tea dalam panggung wayang. Kali ada ice tapi takde honey.” Qhabeer menarik tangan Sofea sambil berjalan dalam hujan menuju ke keretanya. Sofea hanya menurut langkah Qhabeer. Sedar hujan agak lebat, Qhabeer mengangkat lagi satu tangannya lalu diletakkan di atas kepala Sofea. Sebelum dia bernyanyi kecil lagu yang sering didendangkan kepada Sofea dengan gitar kesayangannya 2 tahun lepas. Sofea gelak kecil. Walaupun ianya tetap tak mampu menghalang Sofea dari terkena hujan, Sofea gembira.
Smiley eyes, perfect smile, romantic rhapsody, rainy day… Me and you… I miss you!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment