Monday, March 12, 2012

Tentang Rasa




Angin laut menyapu lembut wajah Adriana. Mata Adriana berkaca namun bibirnya menguntum senyum. Redup matanya memandang entah ke mana. Berkhayal terbayangkan wajah lelaki yang seringkali berada dalam fikirannya lewat kebelakangan ini, Azfar. Terasa bagaikan Azfar berada di sisinya tika itu. Berdiri di hadapannya. Merenung tepat ke dalam anak matanya sambil memegang lembut kedua pipinya dan tersenyum manis.

Adriana mengukir senyum. Bagaikan Azfar benar wujud di hadapannya dan tersenyum ke arahnya.
Senyuman itu. Senyuman itu amat dirinduinya lewat kebelakangan ini. Senyuman yang paling indah dan manis yang pernah Adriana lihat seumur hidupnya. Senyuman yang paling ikhlas diukir acapkali memandang tepat ke anak matanya.

Adriana pejam erat matanya. Beberapa saat kemudian, air mata mengalir dari celah-celah alis matanya. Adriana mengetap bibir sambil membiarkan tubuhnya digigit bayu laut. Terasa rambutnya bergesel lembut di pipinya. Menyedarkan Adriana bahawa Azfar tiada di situ menyentuh pipinya. Adriana enggan membuka matanya. Mahu terus berkhayal Azfar berada di sisinya.

Bayangan Azfar kembali menerjah dalam khayalannya. Azfar kini duduk di sisinya, sambil tersenyum ke arahnya. Gitar yang diletakkan di paha Azfar mula mengalunkan musik tatkala jari jemari Azfar mula menari lembut memetik gitar. Azfar mula berlagu indah mengikut melodi yang dimainkannya.

Aku tersesat menuju hatimu
Beri aku jalan yang indah
Izinkan ku lepas penatku
Untuk sejenak lelap di bahumu

Dapatkah selamanya kita bersama
Menyatukan perasaan kau dan aku
Semoga cinta kita kekal abadi
Sesampainya akhir nanti selamanya

Tentang cinta yang datang perlahan
Membuatku takut kehilangan
Ku titipkan cahaya terang
Tak padam didera goda dan masa

Dapatkah selamanya kita bersama
Menyatukan perasaan kau dan aku
Semoga cinta kita kekal abadi
Sesampainya akhir nanti selamanya


Adriana mengetap bibir. Airmatanya kini mengalir laju. Adriana membuka perlahan matanya dengan harapan Azfar berada di hadapannya tika itu. Sungguh dia rindukan si pemilik senyuman manis itu. Adriana hampa, tatkala membuka matanya, Azfar tiada di hadapannya. Yang ada, cuma laut yang memantulkan cahaya lampu dan bulan di kaca matanya.

Hatinya dicengkam rasa rindu. Rasa rindu yang seolah-olah berduri. Mencengkam kuat hatinya. Sakit. Adriana terasa hatinya sakit dicengkam perasaan rindu yang maha hebat.

Kesal, Adriana kesal tak pernah berani jujur dengan perasaannya selama ini terhadap Azfar. Adriana kesal kerana terlalu yakin Azfar akan terus berada di sisinya tanpa menyedari selama ini Azfar ikhlas menyayanginya sepenuh hati.

~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~

“Awak, saya dah tak sanggup tunggu awak.” Ujar Azfar di hujung talian telefon. Adriana mengerutkan dahinya.

“Tunggu saya?”

“Awak tak pernah sedar ataupun sengaja buat-buat tak sedar?” soal Azfar.

“Maksud awak?” soal Adriana. Sungguh dia bingung dengan sikap Azfar saat itu. Beberapa saat kemudian, terdengar Azfar melepas perlahan nafasnya.

“Awak tak pernah sedar kan? Yang selama ni saya sayangkan awak lebih daripada seorang kawan?” Adriana terkedu.

“Takpe, saya tak salahkan awak kalau awak tak pernah sedar. Sebab saya sendiri tak pernah berterus terang pada awak.” Bibir Adriana sedikit terbuka. Dia ingin bersuara, namun peti suaranya bagaikan terkunci.

“Awak semangat saya selama ni. Kadang-kadang saya terasa macam saya perbodohkan diri saya sendiri. Sebab, ada waktu, saya terasa bagaikan nafas yang saya hembuskan adalah kerana awak. Awak muncul dalam hidup saya tatkala hidup saya menemui jalan buntu dalam hidup saya. Awak muncul, dan mewarnai kembali hidup saya. Dan tanpa saya sedar, saya jatuh cinta. Entah bila, saya mula cintakan awak.” Azfar senyum.

“Walaupun awak buat saya bahagia tiap kali kita berjumpa, tiap kali kita berbual tapi kadang-kadang hati saya tak senang bila fikirkan apa perasaan sebenarnya perasaan awak terhadap saya. Saya bayangkan, macam mana kalau saya tiba-tiba kehilangan awak.”

Lama mereka sama-sama terdiam.

“Adriana…” panggil Azfar perlahan.

“Ye Azfar?” akhirnya Adriana bersuara. Azfar senyum.

“Saya dah taknak tunggu awak. Hati saya dah penat dikejar perasaan takut. Takut kehilangan awak selama. Awak semangat saya selama ni, tapi saya dah tiba masanya saya cuba untuk mulakan segalanya sendiri. Awak tak pernah sedar kan? Betapa sayangnya saya pada awak selama ni?”

Adriana mengetap bibirnya sambil perlahan menggeleng kepalanya. Air matanya mula mengalir. Cuba bersuara namun gagal. Azfar yang menanti di hujung talian, tersenyum menanti Adriana bersuara tanpa menyedari gadis itu menangis terharu tatkala mengetahui selama ini Azfar turut menyayanginya.

“Adriana… Awak ingat tak pernah satu ketika dahulu, saya pernah nyanyikan lagu
‘Tentang Rasa’ pada awak? Waktu saya nyanyikan lagu tu untuk awak, hati saya yakin yang saya betul-betul sayangkan awak. Cintakan awak. Yes, saya betul-betul cintakan awak Adriana. Tapi saya tak berani luahkannya selama ni dan berharap awak dapat sedar semua tu.”

“Adriana, awak jaga diri.”

~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~


Dan malam itu pengakhiran segalanya. Adriana tidak lagi menerima sebarang panggilan daripada Azfar. Puas Adriana cuba menghubungi lelaki itu, namun Azfar tidak lagi menggunakan nombor telefon yang sama. Dia cuba mencari Azfar melalui sesawang sosial Facebook, MySpace, Friendster dan pelbagai sesawang sosial lagi. Namun dia menemui jalan buntu.

Azfar hilang entah ke mana hingga ke saat ini.

Adriana kesal kerana lewat menghubungi Azfar untuk berterus terang bahawa dia berperasaan yang sama terhadap Azfar. Adriana langsung tidak menyangka bahawa itu merupakan kali terakhir dia mendengar suara Azfar. Dia langsung tidak menjangka yang lelaki itu akan lenyap dari hidupnya sebegini.

~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~♥~

Sometimes it’s too late to make things right, sometimes we hurt others more than we realize, sometimes smiles fades in front of our eyes and sometimes we are the reason for tears in someone’s eyes.

Sometimes, when people want to walk away from your life, stop them once. Because sometimes we never realize that he/she may be an important part in your life.